Category: News

Media Prima transformasi segmen radio

KUALA LUMPUR 17 OKTOBER 2018. Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul ketika melancarkan platform digital baru di bawah Media Prima Berhad di Dewan Mercu Mustapha Kamal. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

 

PETALING JAYA: Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia mengumumkan transformasi segmen radio penyiaran menjadi syarikat berfokus kepada audiens, dikenali sebagai Ripple yang akan memfokuskan kepada digital, penyiaran dan dagangan.

Trasnformasi itu juga bakal menyaksikan Ripple bakal meneroka lebih banyak peluang melalui pelancaran tujuh aset digital baru seperti Dhia, Donna, Lunaria, The Laki, Likely, Chapters dan Wakeke yang boleh diakses melalui laman web serta laman sosial tersendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, berkata pelancaran Ripple adalah selari dengan pelan transformasi perniagaan Media Prima untuk meningkatkan pendapatan dari segmen digital dan pengguna.

Beliau berkata, Ripple menyasarkan untuk membuka lebih peluang kepada audiens secara kreatif dengan memanfaatkan data untuk interaksi yang lebih peribadi dan menjadi sebahagian daripada aktiviti digital harian.

“Transformasi segmen radio ini bertepatan dengan apa yang kami cuba lakukan di Media Prima untuk menjadi syarikat kandungan utama digital dan dagang di Malaysia.

“Hala tuju baru ini akan memberikan penyelesaian yang lebih bersepadu kepada pengiklan yang ingin berhubung dengan audiens di pelbagai platform berbeza.

“Seterusnya, kami akan terus membuka nilai aset sedia ada dengan memfokuskan strategi inovasi digital dan dagang dalam kumpulan yang mana ia akan memperluas inisiatif e-dagang kami, Superdeals bagi tawaran kepada komuniti digital,” katanya berucap pada majlis pelancaran Ripple di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Selain tujuh jenama baharu itu, Ripple mempunyai empat siaran radio Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM serta audio podcast Ais Kacang dan Superdeals.

Kamal berkata, optimis dengan pelan transformasi yang dilaksanakan, Media Prima yakin sumbangan perolehan segmen digital mampu meningkat dengan pertumbuhan dua angka bagi tahun kewangan 2018.

Katanya, beliau berharap usaha yang dilaksanakan pelbagai platform sama ada Ripple, tonton, Superdeals, NSTP dan rangkaian televisyen dapat menjadi pemangkin utama dalam mencapai perolehan digital yang memberangsangkan.

Pendapatan segmen digital Media Prima meningkat kepada RM44.8 juta untuk enam bulan terakhir pada 30 Jun 2018 dipacu oleh pendapatan pengiklanan digital yang lebih tinggi di semua platform.

Malah, Media Prima kini menduduki tempat ketiga di Malaysia dari segi capaian digital dan menyasarkan peningkatan lapan peratus kepada sumbangan pendapatan digital menjelang akhir tahun berbanding tiga peratus tahun lalu.

    Leave Your Comment Here