Category: News

Ripple tarik lebih ramai pengguna digital

KUALA LUMPUR 17 OKTOBER 2018. Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul memberi penerangan menganai platform digital baru di bawah Media Prima Berhad di Dewan Mercu Mustapha Kamal. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

 

PETALING JAYA: Media Prima Berhad mengumumkan pertukaran nama Rangkaian Radio Media Prima kepada Ripple, sekali gus melancarkan tujuh pelantar digital di bawah jenama baharu terbabit.

Tujuh pelantar digital berkenaan ialah Lunaria dan Thelaki (Hot FM), Donna dan Dhia (Kool FM), Likely (Fly FM) serta Chapters dan Wakeke (One FM).

Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul, berkata tujuh pelantar berkenaan diperkenalkan bagi menarik lebih ramai pengguna digital selain memperluaskan kumpulan sasaran sedia ada.

“Menerusi tujuh pelantar digital ini, sasaran penggunanya akan lebih luas dan sekali gus memenuhi kehendak pelanggan untuk memasarkan produk mereka kepada pengguna sesuai.

“Ia juga dijalankan menggunakan kaedah sinergi bersama-sama stesen radio dan e-dagang, Super Deals.

“Setiap pelantar digital berkenaan mempunyai laman web, laman sosial dan personaliti tersendiri. Paling utama, isi kandungannya perlulah bersesuaian dengan kumpulan sasaran,” kata Seelan ketika ditemui pada majlis pelancaran Ripple di Damansara Perdana, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Mengulas isi kandungan bakal diketengahkan, Seelan berkata, ia perlu mengikut kehendak kumpulan sasaran.

“Bagi semua platform digital ini, kita mempunyai 50 personaliti yang serba boleh kerana tugas mereka merangkumi mencari bahan, menulis, mengendalikan sesi temubual dan juga merakam video,” katanya.

Mengenai pertukaran nama kepada Ripple, beliau memberitahu, perubahan itu dibuat sebagai sebuah jenama perniagaan.

“Radio pula masih beroperasi seperti biasa, tanpa sebarang konflik. Platform digital ini sebaliknya akan membantu dari segi memperkembangkan isi kandungan kedua-duanya,” kata Seelan.

 

Source : Berita Harian Online

    Leave Your Comment Here