Category: News

Transformasi Kool FM 2020

Kool FM, stesen radio yang dikendalikan oleh Ripple, anak syarikat kepada Media Prima Berhad kini tampil dengan konsep baharu yang memfokuskan kepada isu semasa, sosial dan komuniti. Nafas baharu Kool FM bakal disajikan kepada umum bermula Isnin, 6 Januari 2020 dengan tagline​ ​baharu ‘Suara Semasa’. Mengekalkan penyampai terdahulu, AG, Haiza dan Muaz sebagai teraju utama untuk segmen Kool FM AG, Haiza & Muaz yang akan mengetengahkan isu semasa nasional dan dunia merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan serta isu-isu komuniti. Manakala Rea bakal menggalas tugas bagi segmen Kool FM Rea bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, menyajikan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi serta hiburan. Kool FM Linda Onn bersiaran jam 3 petang hingga 7 malam akan membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya yang lebih santai serta bersahaja. Dari jam 7 hingga 8 malam, pendengar boleh merehatkan minda dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool dan diikuti seleksi lagu-lagu terbaik era 80an, 90an hingga terkini akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

 

Kekal mengemudi segmen pagi, masing-masing mempunyai pengalaman dan kelebihan tersendiri dalam penyiaran radio mahupun televisyen membuatkan mereka serasi bergandingan. Muhammad Azmir Selamat atau dikenali sebagai AG terdahulu pernah mengacarakan program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI), Nasi Lemak Kopi O (NLKO) juga program berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) akan sama-sama mencari jawapan dari pelbagai sudut yang mengundang kemusykilan di kalangan pendengar berkenaan isu-isu semasa. Bagi Haiza atau pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin, kariernya bermula sebagai penyanyi dangdut era 90an, pelakon dan beliau sendiri pengikut tegar isu semasa yang sering membincangkan isu tempatan dan global bersama rakan penyampai. Tidak ketinggalan, Muazanazzudin atau Muaz juga mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pengacaraan antaranya, Qari Jr 2018 dan terkini beliau salah seorang pengacara program Borak Kopitiam di TV3 yang sering menemubual pelbagai lapisan masyarakat yang berjaya dalam kehidupan mereka. Dengarkan perdebatan mereka di tetuang udara dan digital pada hari Isnin hingga Jumaat, 6 hingga 10 pagi yang akan mengupas setiap isu, juga bersama panel jemputan yang akan dijemput berdasarkan topik yang dibincangkan. 

 

Diberi tanggungjawab mengendali segmen Kool FM Bersama Rea bermula jam 10 pagi hingga 3 petang. Rea atau nama sebenar Tengku Nor Suriya akan menyajikan pendengar dengan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi dan hiburan yang terkini. Rea juga merupakan seorang usahawan kecil dan bergiat aktif di ruang media sosial, khusus kepada fesyen dan kecantikan juga sering berkongsi tips bersama para pendengar berkenaan gaya hidup. Bagi Rozlindah Onn atau lebih mesra dikenali sebagai Linda Onn, memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penyiaran merupakan bonus untuknya menggalas tugas sebagai penyampai segmen Kool FM Bersama Linda Onn bersiaran jam 3 petang hingga 7 malam. Segmen ini akan membincangkan isu nasional dan dunia, serta menumpukan kepada keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya yang lebih santai dan bersahaja. Pendengar juga boleh berinteraksi dengan panel jemputan menerusi debat dan temubual. Linda adalah seorang hos TV, pelakon dan seorang ahli perniagaan yang mengusahakan restoran makanan. Perubahan isu kandungan baharu Kool FM juga akan disajikan di ruang digital yang mana Shah Sulaiman kekal bertindak sebagai digital talent yang memainkan peranan penting bagi mengacarakan slot digital antaranya Dari Lensa Kool, Kool Panas, Hero Kita, Spotlight Kool dan lain-lain lagi.

 

Bercakap mengenai pembaharuan dan strategi terkini Kool FM, Puan Anida Tahrim, Pengurus Besar Kumpulan, Audiens & Pemasaran, Ripple berkata “Melalui Kool FM Rebirth, kami yakin mampu meneroka lebih banyak idea dari pelbagai dimensi yang kreatif dalam mengupas isu semasa, sosial dan komuniti yang bakal memberi impak positif kepada pendengar​. Dengan pembaharuan ini juga, sasaran pendengar lingkungan usia 25 tahun ke atas berpeluang menyuarakan pendapat atau pandangan mereka mengenai topik yang dibincangkan setiap hari dan juga memberi peluang kepada para jemputan dan pakar untuk menjelaskan sebarang persoalan daripada pendengar. Komunikasi atau perbincangan dua hala ini diharap dapat menjelaskan sesuatu isu atau kemusykilan dengan lebih baik. Pandangan orang ramai juga diteruskan melalui isi kandungan digital kami yang mana pelbagai isi kandungan yang merupakan lanjutan di tetuang udara dapat dipanjangkan di ruang digital. Kool FM yang baru ialah medium perantara mewakili kelompok komuniti yang inginkan suara mereka didengari,​” tambahnya lagi.

 

Kool FM boleh didengari melalui frekuensi FM101.3 (Lembah Klang), FM90.2 (Pulau Pinang), FM93.6 (Kuala Terengganu), FM88.5 (Kota Bharu), FM107.3 (Alor Setar) dan FM104.3 (Kuching).

Dengarkan juga secara streaming di www.koolfm.com.my  dan s​ecara LIVE di YouTube Kool TV.​                                                                         

 

Untuk menyertai komuniti dan mengikuti perkembangan terkini Kool FM, boleh ikuti di media sosial rasmi:

  • Facebook : Kool FM
  • Instagram : @koolfmmy
  • Twitter : @koolfmmy
  • YouTube : Kool TV

 

Info segmen dan penyampai:

Segmen dan Nama Penyampai Info Segmen
Kool FM AG, Haiza & Muaz

 

Setiap Isnin hingga Jumaat 6 pagi – 10 pagi
Kool FM Rea Setiap Isnin hingga Jumaat 10 pagi – 3 petang
Kool FM Linda Onn Setiap Isnin hingga Jumaat 3 petang – 7 malam
Refleksi Kool Setiap Isnin hingga Ahad 7 – 8 malam
Spectator Sukan Setiap Sabtu

10 pagi – 12 tengah hari

Kool Sabtu-date Setiap Sabtu

12 tengah hari – 2 petang

Alpha Beta Setiap Sabtu

5 petang – 7 malam

Dimensi Kool – Rea Setiap Ahad

10 pagi – 12 tengah hari

Spotlite Kool Setiap Ahad

12 tengah hari – 2 petang

H&L Kool – Linda Onn (Health & Life Kool) Setiap Ahad

5 petang – 7 malam

    Leave Your Comment Here